Pasukan Kami
Lembaga Ahli Pemegang Amanah ALAM

Datuk Ali Tan Sri Abdul Kadir
Pengerusi
Datuk Ali mempunyai pengalaman kerjaya yang unggul dan cemerlang dalam sektor perakaunan. Beliau sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Eksekutif dan Rakan kongsi di Ernst & Young. Beliau terkenal dengan kepakaran dalam perancangan strategik dan kewangan.
Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dari tahun 1999 hingga 2004, di mana beliau telah membangunkan Pelan Induk Pasaran Modal. Beliau juga pernah berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa di peringkat kebangsaan termasuk Jawatankuasa Pelaburan Asing, Jawatankuasa Pemantauan Syarikat Pengurusan Aset Negara (Danaharta). Pada peringkat antarabangsa, beliau pernah memegang jawatan sebagai ahli Lembaga Exco Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) serta Pengerusi bagi Jawatankuasa Wilayah Asia Pasifik dan Kumpulan Kerja Pasaran Modal Islam.
Sebelum ini, Datuk Ali menganggotai lembaga pemegang amanah bagi Yayasan “Force of Nature”, sebuah pertubuhan bukan berkeuntungan bagi bantuan bencana. Kini, beliau juga adalah ahli lembaga bagi “Tropical Rainforest Conservation and Research Centre” (TRCRC).

Dr. K Harikrishna
Pemegang Amanah
Dr. Harikrishna mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman dalam bidang bioteknologi. Selama 18 tahun, beliau berkhidmat di Sime Darby, di mana pada tahun 2009, beliau menerajui usaha untuk menyusun genom kelapa sawit dengan jayanya. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) Kepujian dalam Sains Tumbuhan dari Wye College of London University pada tahun 1985, dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam “Plant Molecular and Developmental Biology” dari University of Leicester pada tahun 1989.
Hasil usaha ini telah menjadikan Sime Darby syarikat pertama di dunia yang mencuba penanaman komersial anak benih kelapa sawit menggunakan genom terpilih. Pada April 2017, Genome Select Sime Darby Plantation diumumkan sebagai pemenang Anugerah Produk Baharu Terbaik Edison dalam Kategori Kelestarian.
Sepanjang kerjayanya, Dr. Harikrishna pernah menjadi Felo pasca- kedoktoran di University of California, Davis, Amerika Syarikat; pensyarah bioteknologi di Universiti Putra Malaysia; saintis pelawat di Massachusetts Institute of Technology, Cambridge, Amerika Syarikat; serta Profesor Pelawat di Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia).
Pada tahun 2012, beliau telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan I dan Ketua Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan Sime Darby Plantation Berhad, dan sejak tahun 2016, beliau juga menjadi ahli Majlis Penasihat Saintifik Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Professor Emeritus
Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid
Pemegang Amanah
Profesor Emeritus Tan Sri Dr Zakri mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam bidang sains. Terkenal sebagai penyelidik, pendidik, saintis, dan diplomat, beliau memperoleh Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian Malaysia pada tahun 1969. Beliau menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains di Louisiana State University pada tahun 1972, diikuti Sarjana Sains dari Michigan State University pada tahun 1974, dan Ijazah Kedoktoran pada tahun 1976.
Pada tahun 2000, beliau dipilih sebagai Pengerusi Bersama Lembaga Millennium Ecosystem Assessment (MA), salah satu kerjasama saintifik terbesar di dunia. Projek selama lima tahun ini merupakan penilaian saintifik bersepadu mengenai kesan perubahan ekosistem terhadap kesejahteraan manusia dan tindakan yang perlu diambil untuk menangani ancaman tersebut.
Beliau turut memberi sumbangan besar dalam pemerhatian, analisis, dan penilaian biodiversiti global serta perkhidmatan ekosistem, dan tiga spesies telah dinamakan sempena nama beliau.
Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi pelbagai badan, baik di dalam mahupun di luar negara, termasuk memegang jawatan penting di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Rosnah Kamarul Zaman
Pemegang Amanah
Puan Rosnah binti Dato’ Kamarul Zaman memiliki pengalaman luas dan cemerlang dalam industri perbankan dan kewangan, dengan kerjaya menjangkau lebih 25 tahun.
Beliau memulakan perjalanannya dengan Bank of Commerce Berhad (kini CIMB Bank Berhad) pada tahun 1979, dengan memegang peranan penting sebagai Pegawai Kredit dan Pengurus Cawangan. Beliau kemudiannya, dinaikkan pangkat untuk menjadi Naib Presiden Kanan dan Naib Presiden Eksekutif, di mana beliau menguruskan pelbagai fungsi antaranya Sumber Manusia, Hal Ehwal Korporat, Kewangan, Perancangan Korporat, Komunikasi dan Perhubungan Awam. Kemahiran kepimpinan beliau terserlah melalui peranan beliau dalam mempengerusikan Jawatankuasa Kredit dan berkhidmat dalam lembaga pengarah beberapa anak syarikat bank.
Puan Rosnah memainkan peranan penting dalam tiga penggabungan bank utama dan beliau juga telah dipilih pada tahun 2004 untuk menyertai Program Pembangunan Kepimpinan Global iaitu satu inisiatif Bank Negara Malaysia untuk membangunkan pemimpin dalam industri perbankan. Selepas bersara awal pada tahun 2005, beliau kekal aktif dalam sektor tersebut dengan menyertai Lembaga Ahli Pemegang Amanah Yayasan CIMB pada tahun 2007 dan berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Time Engineering Berhad di antara tahun 2011 dan 2013.
Beliau juga terus menyumbang dalam industri ini dengan memegang pelbagai jawatan dalam Lembaga Pengarah di CIMB Bank Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, dan Danajamin Nasional Berhad. Sejak tahun 2021, beliau juga merupakan ahli dalam Panel Pelaburan Lembaga Tabung Haji, serta berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad sejak Mei 2022.

Sainursalwa Sani
Ketua Pegawai Sumber Manusia
Bank Pembangunan Malaysia Berhad
Jemputan Tetap
Puan Sainursalwa binti Sani, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia di Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dan merupakan seorang ahli profesional yang terkemuka dalam bidang pengurusan modal insan strategik. Beliau pernah diiktiraf sebagai salah seorang daripada IKON HR 2023 – 100 Pemimpin HR Paling Berpengaruh di Asia Tenggara oleh pasukan editorial HRWORLD, sebagai pengiktirafan ke atas pengaruh dan impak beliau dalam industri ini . Beliau memulakan perjalanan akademik dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan di Cardiff Metropolitan University. Gabungan unik antara bidang Sains Kemanusiaan dan Pengurusan Perniagaan ini telah membentuk asas yang kukuh bagi perjalanan kerjaya beliau.
Kerjaya profesional beliau meliputi pelbagai peranan utama di organisasi terkemuka di Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pengurus Perancangan Strategik di Malaysia International Shipping Corporation (MISC), diikuti dengan kerjaya di Khazanah Nasional Berhad sebagai Naib Presiden Pengurusan Modal Insan Strategik. Seterusnya, beliau meneruskan kerjaya sebagai Pengurus Besar Sumber Manusia Strategik di DRB Hicom dan Ketua Operasi Sumber Manusia di Ramsay Sime Darby Healthcare Malaysia, yang mengukuhkan lagi kebolehan kepimpinan dan perancangan strategik beliau.
Selepas memegang jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia & Pentadbiran di Unit Prestasi & Penyampaian Pendidikan (PADU) Kementerian Pendidikan, beliau menyertai Malaysia Aviation Group/Malaysia Airlines Berhad sebagai Pengurus Besar Pengurusan Modal Insan Strategik. Sebelum menyertai BPMB, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan di Kumpulan SME Bank. Kerjaya beliau bukan sahaja mencerminkan kepimpinan beliau, tetapi juga komitmen terhadap pembangunan profesional yang berterusan, yang dapat dilihat melalui penyertaannya dalam pelbagai program latihan yang memberi tumpuan kepada kelestarian perniagaan dan pembangunan sumber manusia.
Pasukan Pengurusan ALAM

Wan Faizah Che Din
Ketua Pegawai Eksekutif
Puan Wan merupakan seorang Profesor Adjung di Universiti Antarabangsa UNITAR dan mempunyai pengalaman luas dalam jawatan pengurusan di pelbagai organisasi, termasuk syarikat multinasional, GLC, dan syarikat swasta seperti Savills (Malaysia) Sdn Bhd, CBRE Malaysia, Ernst & Young, Bursa Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan TTDI Development Sdn Bhd. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan (Perakaunan) dari Universiti Monash, Australia pada tahun 1990.
Sejak menyertai Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) pada 2018, Puan Wan telah memegang pelbagai jawatan kanan dalam Kumpulan BPMB, termasuk sebagai Ketua Pengurusan Hartanah, Ketua Hartanah dan Pentadbiran, serta Ketua Strategi Kumpulan sebelum diberi tanggungjawab untuk memimpin Amanah Lestari ALAM selaku Ketua Pegawai Eksekutif pertamanya pada Januari 2021.
Sebagai seorang pencinta alam sekitar dan pengembara tegar, Puan Wan telah terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarelawan di dalam dan luar negara, termasuk program penanaman pokok, kesedaran mengenai alam sekitar dan membantu golongan yang kurang berkemampuan. Seperti kata pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, beliau juga telah berjaya menamatkan kursus Pengurusan Kelestarian Perniagaan dari Institute for Sustainability Leadership, University of Cambridge. Puan Wan mempunyai kelulusan sebagai Certified Practicing Accountant (CPA), dan beliau juga merupakan ahli dalam Board of Valuers, Appraisers, Estate Agents and Property Managers (BOVEAPM).
Ahli Pasukan ALAM

Mohd Hakim Shafie
Pengurus Kanan

Raja Nor Soraya Raja Aznil
Pengurus

Syaamil Iskandar Othman
Pegawai
Perkhidmatan Sokongan BPMB

Aidil Haznul
Setiausaha Syarikat Kumpulan

Hee Wei Jean
Ketua Pegawai Kewangan

Norshydah Abu Talib
Setiausaha Syarikat Bersama

Khairul Zaire
Ketua, Operasi Kewangan