Prakata

Prakata oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB

Encik Roni Abdulwahab

Sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama yang ditubuhkan pada tahun 1973, BPMB telah menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama yang dikenalpasti oleh kerajaan sebagai berkepentingan strategik kepada ekonomi negara.

Kelestarian adalah tunjang perniagaan kami, dan kami memberi keutamaan kepada peningkatan kualiti hidup untuk generasi akan datang sambil melindungi alam sekitar dengan mencegah kehilangan biodiversiti, mengurangkan pencemaran, dan menangani perubahan iklim.

Komitmen kami terhadap kelestarian melangkaui aspek kewangan semata-mata; kami percaya bahawa mendidik masyarakat tentang risiko berkaitan alam semula jadi di peringkat kebangsaan adalah sama pentingnya. Untuk memperkukuhkan komitmen BPMB terhadap pembangunan lestari, Amanah Lestari Alam (ALAM) telah ditubuhkan dengan mandat kebangsaan untuk menyokong inisiatif pendidikan berkaitan alam sekitar dan kelestarian, serta program kesedaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Melalui ALAM, kami berharap dapat mencetuskan dan memupuk perubahan pemikiran serta tingkah laku merentas generasi.

Kami berbangga menjadi sebahagian daripada ekosistem ini dan terus komited menyokong ALAM dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar dan kelestarian di Malaysia.


Prakata oleh Pengerusi Amanah Lestari Alam

DATUK ALI TAN SRI ABDUL KADIR

Amanah Lestari Alam (ALAM) merupakan sebuah inisiatif nasional yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 2019 dan diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Dengan mandat daripada Rancangan Malaysia Ke-12, ALAM akan memacu pelaksanaan inisiatif pendidikan berkaitan alam sekitar dan kelestarian, serta memupuk budaya pemberi maklumat terhadap jenayah alam sekitar melalui pendidikan beserta kerjasama dengan masyarakat, serta sektor awam dan swasta. ALAM juga menyokong tadbir urus yang lebih baik dalam tindakan alam sekitar dan merapatkan penggubal dasar dengan pihak berkepentingan.

Melalui daya usaha yang berterusan, kami berhasrat untuk memupuk dan menjadikan kesedaran alam sekitar sebagai satu budaya dikalangan rakyat Malaysia terutama sekali dikalangan anak muda yang merupakan ejen perubahan demi Malaysia yang lestari.

Definisi ALAM

ALAM merupakan satu inisiatif peringkat kebangsaan yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dengan visi untuk mengubah minda dan kelakuan rakyat Malaysia terhadap alam sekitar. Seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12, ALAM berhasrat untuk mewujudkan kesedaran, mendidik dan menyemai budaya pemberi maklumat berkenaan alam sekitar melalui kerjasama dengan sektor awam dan swasta serta masyarakat umum. ALAM juga menggalakkan pelaksanaan dasar untuk tadbir urus yang lebih baik dan menghubungkan penggubal dasar dengan pihak berkepentingan.

ALAM menyasarkan tiga segmen khusus iaitu Pelajar Sekolah Rendah, Belia dan Dewasa – dengan tujuan untuk membantu memupuk hubungan rakyat Malaysia dengan modal semula jadi negara sekarang dan generasi akan datang. Fokus ALAM bertumpu kepada tujuh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB:

Rasional Logo

Logo ALAM mencerminkan tanggungjawab manusia yang peka terhadap penjagaan alam sekitar yang yang diperkasakan melalui Pendidikan. Berbentuk rama-rama, ia melambangkan kuasa transformatif minda yang terdidik ke arah perubahan positif terhadap alam sekitar. Rekaan ini ditelitikan lagi dengan gabungan unsur dan warna-warna yang dapat menggambarkan hubungan harmoni manusia dengan alam semula jadi.

  1. Elemen daun melambangkan alam sekitar semula jadi menyerupai proses fotosintesis yang menghasilkan udara bersih.
  2. Warna hijau, adalah lambang kelahiran baharu, serta harapan untuk generasi akan datang agar memupuk semula rasa kasih sayang dan hormat terhadap alam sekitar.
  1. Sesungut rama-rama yang penting untuk deria rasa, keseimbangan dan hala tuju, digambarkan sebagai sebuah buku terbuka. Ini mewakili peranan utama pendidikan dalam memupuk kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar.
  2. Biru melambangkan intipati pendidikan.
  3. Bentuk titisan air dan warna biru muda mewakili lautan, menekankan kepentingan  air dalam mengekalkan semua bentuk kehidupan.